Jihad Penuhi Tanggungjawab Kepada Allah
January 16, 2009 by admin
Filed under Berita PGX, Latest, Mimbar Agama
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“JIHAD PENUHI TANGGUNGJAWAB KEPADA ALLAH”
(16 Januari 2009 / 19 Muharram 1430H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya pertolongan Allah amat dekat dengan orang yang bertakwa. Supaya dengan itu, kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “JIHAD PENUHI TANGGUNGJAWAB KEPADA ALLAH“.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Jika kita mengimbau sejarah peperangan dunia pertama pada tahun 1917 dan peperangan dunia kedua pada tahun 1941, beberapa penganalisis perang meramalkan bahawa perang dunia ketiga akan bermula di Timur Tengah. Ramalan ini diasaskan kerana rantau Timur Tengah adalah kawasan yang paling tegang di dunia ketika ini disebabkan wujudnya kumpulan jihad yang tidak pernah berputus asa menentang penubuhan negara haram Israel.
Peperangan yang berlaku di dunia ini bukanlah perkara yang disukai oleh manusia, malah ia adalah perbuatan terkutuk. Peperangan dianggap perbuatan terkutuk kerana ia membunuh ramai manusia yang tidak berdosa dan merosakkan dunia. Selain itu, peperangan juga menjadi alat di kalangan penjajajah, pengkhianat, imperialis dan pengganas untuk merebut negara orang serta merampas kekayaan sesuatu bangsa.
Bagaimana pun, adakalanya peperangan itu adalah perbuatan terpuji iaitu jihad fi sabilillah, peperangan di jalan Allah atau perang suci Islam. Perang jihad dianggap terpuji apabila dilakukan untuk melenyapkan pengkhianat, menentang penjajah, mengusir imperialis dan mempertahankan kebebasan beragama. Dengan demikian perang fi sabilillah adalah satu-satunya bentuk peperangan yang dibenarkan dalam Islam. Namun persoalan besar timbul ialah mengapa jihad dalam Islam mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT?.
Dengan berjihad, maka maruah Islam terpelihara, umatnya terbela dan terjamin mulia. Skop jihad itu sangat luas. Ia bukan sahaja berperang melawan musuh yang ingin menjajah kedaulatan sesebuah negara tetapi berusaha membebaskan negara dan rakyat dari kesengsaraan penjajahan. Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Haji ayat 39-40:

Yang Bermaksud: “Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, sebab mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka. Iaitu mereka yang diusir dari kampung dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja, dan tempat-tempat sembahyang kaum Yahudi, dan juga masjid-masjid yang disebut banyak nama Allah padanya; dan bahawa Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
Berdasarkan ayat ini Allah berjanji menolong mereka yang berperang fi sabilillah untuk mempertahankan diri dari pengusiran, mempertahankan diri dari penganiayaan, dan mempertahankan diri dengan berpendirian bahawa Tuhan kami ialah Allah. Dalam surah al- Anfal ayat 65 pula, Allah SWT telah menggambarkan bagaimana pertolongan-Nya diturunkan ke atas umat Islam yang sedikit jumlahnya dapat mengalahkan musuh yang ramai dengan nisbah kekuatan 20 orang mengalahkan 200 orang tentera musuh.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kekuatan dan bantuan rohaniah ini juga telah diberikan oleh Allah SWT kepada tentera Islam di dalam peperangan Ahzab yang seramai 3,000 orang menewaskan pakatan musyrikin Madinah dan Mekah berjumlah 10,000 orang. Manakala dalam peperangan Mu’tah, tentera Islam seramai 3,000 orang berjaya menewaskan tentera Rom berjumlah 20,000 orang. Mimbar berpendapat bahawa perjuangan Hamas, Hizbullah dan kumpulan jihad lain menentang Israel adalah jihad fi sabilillah.
Selari dengan pendapat ulama, maka mimbar menyatakan bahawa perjuangan umat Islam Palestin menentang Israel adalah perang fi sabilillah. Pendapat ini menyatakan bahawa hukum berjihad adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam yang negerinya telah diserang oleh musuh. Bagaimanapun, ia menjadi fardhu kifayah ke atas umat Islam yang lain, yang berada di luar wilayah bergolak tersebut. Menurut Sheikh Ibn Taimiyyah, mempertahankan bumi umat Islam daripada musuh yang mengganas dan memusnahkan Islam serta kehidupan umat Islam adalah kewajipan yang paling penting ke atas setiap umat Islam selepas iman. Sesungguhnya Islam memberi penghormatan tinggi kepada mereka yang mati dalam perang fi sabilillah. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 169:

Yang Bermaksud: ”Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”
Walaupun Islam membenarkan perang fi sabilillah tetapi umat Islam hendaklah mematuhi etika peperangan. Abu Bakar As- Siddiq pernah berpesan kepada kaum muslimin sebelum berangkat ke medan perang dengan mengingatkan tenteranya supaya jangan berbuat khianat, membunuh bayi, membunuh orang tua, membunuh kaum wanita, menyembelih binatang ternakan, menebang pokok, menghancurkan rumah penduduk, membakar ladang pertanian, mengganggu orang beribadat dan menyerang mereka pada waktu subuh untuk mengelak kaum wanita dan kanak-kanak menjadi panik.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar ingin menarik perhatian sidang Jumaat bahawa umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.3 bilion, manakala penduduk Yahudi seramai 6 juta orang sahaja. Apa yang menjadi isu ialah kekuatan tentera Israel dan dasar peluasan wilayahnya menyebabkan negara Arab sekitarnya berdiam diri kecuali kumpulan jihad Islam yang berani menembusi kekebalan Israel. Perang fi sabilillah di Palestin adalah untuk mempertahankan hak Allah dan umat Islam. Kumpulan jihad ini dibentuk oleh orang-orang yang beriman dan berjuang atas dasar mematuhi perintah dan ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh itu, mereka melakukan jihad yang berterusan dan inilah yang sedang berlaku di Gaza dan beberapa kawasan di Palestin. Pertembungan rejim Zionis dengan kumpulan jihad, diibaratkan sebagai pertemuan buku dengan ruas kerana kumpulan jihad sebenarnya tidak takut mati. Manakala rejim Zionis pula adalah puak yang takut mati.
Keganasan Israel berkait rapat dengan tabiat buruk Bani Israel. Dalam al-Qur’an disebutkan bahawa mereka bertabiat angkuh, suka mempersenda para Nabi, sangat tamak, suka menyalahi janji, suka berbohong, bersifat melampau, suka melakukan kerosakan di laut dan di darat, kufur nikmat, suka menyalahi janji dan mencampur adukkan yang hak dengan yang batil. Tabiat buruk ini menjadi satu kebanggaan kepada mereka walaupun tinggi ilmu pengetahuan dan hidup lebih moden.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ketinggian semangat jihad dan kekuatan pertahanan memberi kesan yang besar dalam membantu kejayaan jihad dengan berkesan. Sejarah kerajaan Malaysia membantu rakyat Palestin amat dikagumi dan dipuji oleh masyarakat Islam antarabangsa. Langkah terbaru YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memanggil sidang khas parlimen, mendesak Majlis Keselamatan PBB supaya mengadakan perhimpunan agong khas mengutuk Israel dan mematuhi resolusi PBB adalah tindakan berani. Oleh itu, sebagai mengakhiri khutbah, mimbar menyeru pemimpin dan umat Islam mengambil langkah tambahan lain seperti berikut:
- Pertama: melakukan perancangan strategik dalam menguatkan sistem pertahanan negara-negara Islam;
- Kedua: membangunkan industri ketenteraan dan pertahanan serta tidak bergantung kepada bekalan senjata daripada negara Barat;
- Ketiga: mewujudkan pakatan tentera di kalangan negara Islam;
- Keempat: menubuhkan pusat-pusat sukrelawan Islam dan tabung jihad yang berterusan bagi membantu umat Islam yang ditindas; dan
- Kelima: tidak membenarkan pengkalan tentera asing dibina di negara Islam kerana sering digunakan sebagai pusat risikan.

Yang Bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfaal:60)

Mimbar Jumaat – TANGISAN GAZA
January 9, 2009 by admin
Filed under Berita PGX, Mimbar Agama

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekelian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “TANGISAN GAZA “.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari yang mulia ini, mimbar ingin menarik perhatian kita semua mengenai penderitaan rakyat Palestin. Pada masa ini wilayah Palestin semakin sempit hanya tinggal ’sekangkang kera’ iaitu semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Umat Islam Palestin semakin terhimpit dan terhapus di bumi Palestin. Hari ini genap hari ke-14, di mana beribu-ribu orang Palestin terkorban dan tercedera.
Kekejaman dan keganasan Israel ke atas Palestin sejak abad ke-20 dan hingga kini, mengingatkan kita kepada keganasan Yakjuj dan Makjuj yang disebutkan dalam al-Qur’an. Menurut Doktor Ali Shariati, pakar sosiologi dan penggerak revolusi Iran menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan Yakjuj dan Makjuj adalah merujuk kepada kuasa Barat iaitu Amerika Syarikat dan Yahudi.
Profesor Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Syeikhul Azhar telah menggambarkan sifat keji bangsa ini melalui bukunya ‘Israel fi al-Qur’an wa as-Sunnah‘, bahawa Israel sebagai bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadat, tempat awam dan sebagainya. Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab. Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestin, malah Jordan, Syria, Lebanon, Iraq, semenanjung Sinai dan termasuklah Madinatul Munawwarah.
Sifat keji Bani Israel ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 78:
Maksudnya: “ Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.”
Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Kita amat kesal atas sikap tidak bertanggungjawab Amerika Syarikat yang menyokong jenayah keganasan yang dilakukan oleh kumpulan ini. Kita juga kecewa atas sikap negara-negara kuasa besar lain yang berdiam diri apabila melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam, dan begitu pro-aktif apabila isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat yang bukan Islam.
Adalah satu hakikat bahawa Islam dan ummah tidak boleh bergantung kepada simpati dan bantuan golongan kuffar. Oleh kerana itulah Allah SWT memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-kali akan melindungi Islam dan ummah melainkan mereka dijadikan sanjungan dan pujaan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120:
Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”
Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib dibela. Amatlah salah, kita membiarkan saudara kita di Palestin menderita, tanpa kita melakukan apa-apa. Sedarlah, bahawa kita bukan sahaja wajib membela dan meringankan penderitaan saudara kita di Palestin, tetapi kita sebagai umat Islam juga wajib turut sama mempertahankan kesucian Baitul Maqdis kerana ia adalah kiblat pertama dalam syiar agama kita. Baitul Maqdis juga adalah tempat Rasulullah SAW Israk dan Mikraj, ia juga merupakan masjid kedua dibina di bumi ini dan ia juga tempat yang diberkati dan dilipatgandakan pahala serta diampunkan dosa.
Justeru itu, mimbar ini menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, marilah kita membantu meringankan penderitaan saudara kita di Palestin dengan sama-sama mengambil tindakan berikut:
- Pertama: menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita melalui badan-badan diiktiraf oleh kerajaan yang akan menyalurkannya melalui Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra;
- Kedua: bersama-sama memboikot dan memulau perkhidmatan seperti perbankan, insuran dan dan barangan seperti produk makanan, syarikat minyak atau yang mempunyai kepentingan dengan Amerika dan Israel;
- Ketiga: negara-negara OIC dan lain-lain negara serta umat Islam patut menghentikan dan mengelak dari terus menggunakan mata wang dolar dalam sebarang urusan perdagangan;
- Keempat: menginsafi akan bahaya perpecahan kepada ummah dan perlunya tindakan segera dalam menyatupadukan ummah di kalangan negara Islam seluruh dunia; dan
- Kelima: tanpa jemu, kita hendaklah memastikan bahawa penjenayah pernag Gaza di bawa kemuka pengadilan dan terus memburu mereka walau di mana juga.
Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Mungkin sekali imbas amat sukar untuk mengalahkan Israel dan sekutunya, kerana memiliki peralatan ketenteraan dan senjata nuklear yang hebat kecuali dengan kuasa Allah. Oleh itu, mimbar ini juga menyeru masjid-masjid seluruh negara mengadakan solat sunat hajat dan bacaan qunut nazilah, memohon doa kehadrat Allah SWT agar dikurniakan kepada pejuang Palestin dan Hamas khususnya, kekuatan semangat dan kecekalan hati serta kemenangan dalam menghadapi kezaliman Israel. Seluruh umat Islam juga diseru agar sama-sama mendo’akan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin.
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berjuang membela agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
__________________
Sumber diambil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Mimbar Jumaat – Hijrah Membina Masa Depan Ummah
January 3, 2009 by admin
Filed under Mimbar Agama
Alhamdulillah, kita telah memasuki tahun baru Hijrah 1430, dan pada masa yang sama menerima kedatangan tahun baru Masihi 2009. Bersempena dengan sambutan Ma’al Hijrah tahun ini, maka mimbar akan memperkatakan khutbah bertajuk: “HIJRAH MEMBINA MASA DEPAN UMMAH”.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
” HIJRAH MEMBINA MASA DEPAN UMMAH ”
(02 Januari 2009 / 05 Muharram 1430H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekelian,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekelian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.
Alhamdulillah, kita telah memasuki tahun baru Hijrah 1430, dan pada masa yang sama menerima kedatangan tahun baru Masihi 2009. Bersempena dengan sambutan Ma’al Hijrah tahun ini, maka mimbar akan memperkatakan khutbah bertajuk: “HIJRAH MEMBINA MASA DEPAN UMMAH”.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Ma’al Hijrah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat Radhiallahu ‘Anhum. Program hijrah adalah satu langkah Rasulullah SAW yang amat strategik dalam menegakkan dakwah Islamiah. Perlu kita ingat bahawa berjayanya hijrah menjadi jambatan tertegaknya daulah Islamiah kerana hijrah tersebut dipandu dan didukung oleh keimanan dan ketakwaan yang padu. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah lanskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100:

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan pula dengan agenda membangun negara yang berteraskan petunjuk al-Quranul Karim. Dalam masa 10 tahun, Madinah telah berjaya mengalahkan kuasa besar Rom Timur dan Parsi. Pengajaran penting kepada kita daripada peristiwa hijratur Rasul ialah perlunya kita mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.
Justeru itu, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa agar ia menjadi panduan kepada kehidupan kita. Adalah satu hakikat bahawa pemantapan iman amat bergantung kepada pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap pendidikan melalui penjelasan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.”
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pendidikan adalah matlamat utama melahirkan individu muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah contoh. Peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia itu sendiri termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan farhu ‘ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.
Persoalan besar timbul ialah sejauh manakah penguasaan umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan di negara ini?. Berdasarkan pemerhatian dalam bidang-bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang-bidang sains yang lain, di dapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian kaum-kaum lain. Ini merupakan cabaran hebat kepada umat Islam di negara ini dalam usaha membina masa depan yang cemerlang.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita semua sedia maklum bahawa pendidikan yang berkesan tidak akan terlaksana jika ia tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kejasama dan sokongan dari semua pihak terutama institusi keluarga. Ibu bapa sebagai ketua keluarga seharusnya peka dan prihatin terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya bersama. Ibu bapa perlu menyediakan prasarana yang baik di rumah bagi memastikan anak-anak dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran mereka dengan selesa dan sempurna.
Proses pendidikan rasmi dibangku sekolah merupakan medan terbaik untuk membentuk generasi pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia seterusnya membawa mereka kemercu kecemerlangan dan kegemilangan. Akan tetapi usaha ini tidak akan mencapai matlamat yang diharapkan, sekiranya ibu bapa menyerahkan tugas mendidik anak-anak ini kepada pihak sekolah secara mutlak. Sewajarnya tugas mendidik diteruskan oleh ibu bapa ketika anak-anak bersama mereka. Sebagai contoh, anak-anak telah diajar tentang cara bersolat dibangku sekolah tetapi perlaksanaannya perlu dipantau dan diteruskan di rumah. Andaikata berlaku pengabaian dalam aspek ini maka akan pincanglah proses pendidikan itu. Soalnya apakah kita sudah pun melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna?.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar yang mulia ini menyeru semua pihak terutama ibubapa, marilah kita sama-sama bertindak secara proaktif memastikan masa depan generasi lebih cemerlang dengan usaha-usaha berikut:
Pertama: memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara;
Kedua: ibubapa perlu berusaha dan berkorban menyediakan peruntukkan yang sewajarnya untuk pendidikan;
Ketiga: ibubapa perlu membuat kajian dan analisis dari masa ke masa tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan ancaman yang dihadapi dalam membina pendidikan cemerlang; dan
Keempat: merancang dan menyediakan pelan tindakan supaya matlamat pendidikan anak-anak memenuhi keperluan dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 9:

Maksudnya: ” Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.”




