Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia kembali… 16 Januari 2009

January 6, 2009 by themanwithnoname  
Filed under Isu Semasa, Latest

Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia kembali… 16 Januari 2009

Putrajaya: Kempen membeli barangan buatan Malaysia akan dilancarkan pada 16 Januari oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dengan harapan untuk menjana ekonomi dalam negara.

Menterinya, Datuk Shahrir Samad berkata, adalah sukar untuk peniaga tempatan untuk bergantung kepada pasaran eksport tempatan dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang merundum pada ketika ini. Diharap dengan kempen ini, ia akan dapat membantu para peniaga tempatan.

agent24baranganbuatantempatan1

“Tumpuan utama kementerian bukan lagi bertumpu kepada inflasi, tetapi bagaimana caranya untuk memastikan perkembangan ekonomi peniaga tempatan”

6 Januari 2008.

Berikut adalah ringkasan daripada amanat Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna pada 6 Januari 2008.

AMANAT TAHUN BARU 2009

Y.B. DATO’ SHAHRIR BIN ABDUL SAMAD

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI
DAN HAL EHWAL PENGGUNA
<!–[if !supportLineBreakNewLine]–>
<!–[endif]–>

TARIKH: 6 JANUARI 2009

PENCAPAIAN TAHUN 2008

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

Krisis Ekonomi Global

 

3.         Kebelakangan ini kita dikejutkan oleh krisis ekonomi yang amat serius yang berlaku di seluruh dunia. Tidak boleh dinafikan apabila ekonomi dunia merudum, ia akan mengheret ekonomi negara-negara lain termasuk ekonomi Malaysia. Impak krisis ekonomi global yang mula dirasai pada hujung tahun 2008 dan akan lebih ketara pada awal suku pertama tahun ini ke atas Malaysia. Walaupun mungkin tidak begitu serius ketika ini memandangkan sektor kewangan khususnya rezab negara masih teguh. Kerajaan ketika ini sedang berusaha memastikan permintaan domestik berada pada tahap setinggi mungkin, menentukan sektor perbankan mempunyai kecairan mencukupi serta menetapkan rangsangan fiskal berjalan mengikut jadual.

 

4.         Komitmen warga Kementerian di dalam mengharungi cabaran krisis ekonomi terutama yang terlibat mengendalikan soal kewangan dan peruntukan untuk memberi perkhidmatan yang berkesan mesti dipertingkatkan. Warga Kementerian perlu menjadi lebih inovatif dan kreatif dalam membantu Kerajaan berhadapan dengan krisis ekonomi. Walaupun pertumbuhan ekonomi di negara Asia Pasifik dikatakan akan kekal kukuh untuk menampung pertumbuhan ekonomi dunia yang semakin menurun, namun pertumbuhan ekonomi di Asia akan menurun dari 7.0 peratus pada tahun 2008 kepada 5.3 peratus pada tahun 2009. Enam pendekatan bagi menghadapi cabaran krisis ekonomi global yang digariskan Timbalan Perdana Menteri mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan. Langkah-langkah itu termasuk berpegang teguh kepada nilai integriti dengan menghapuskan rasuah serta membantu mengukuhkan sistem penyampaian Kerajaan. Setiap pendekatan yang diambil untuk menangani sesuatu cabaran mesti disusuli dengan pemantauan untuk memastikan pelaksanaannya adalah berkesan.

Cabaran Kenaikan Harga Barang

 

<!–[if !supportLists]–>5. <!–[endif]–>Kementerian berhadapan dengan masalah apabila harga minyak mula menurun, harga barangan dan perkhidmatan masih tidak diturunkan selaras dengan penurunan harga minyak. Ini berikutan sikap segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan walaupun penurunan harga minyak telah dilakukan sebanyak 7 kali sejak bulan Ogos 2008 yang lalu. Kementerian telah mengambil langkah proaktif dan reaktif sepanjang tahun 2008 bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang melampau di pasaran. Antaranya adalah dengan mengadakan 11 siri Pre-Council Meeting melibatkan 107 wakil persatuan/industri/NGO yang bertujuan untuk mendapatkan maklum balas dan komitmen industri untuk menurunkan harga barangan dan perkhidmatan. Dalam tempoh ini juga Kempen Penurunan Harga di seluruh negara dimulakan.

 

Kempen Penurunan Harga

 

6.         Pelancaran Kempen Penurunan Harga pada 24 Oktober 2008 merupakan antara usaha Kementerian menangani isu kenaikan harga barangan dengan mendapat komitmen daripada 18 pihak industri dan beberapa pasaraya besar tempatan dan asing untuk menurunkan harga barangan dan perkhidmatan yang berlangsung selama 6 bulan. Saya sukacita dan berbangga kerana Kempen ini telah mendapat sambutan dan kerjasama daripada beberapa pasaraya besar tempatan serta asing seperti Giant, Tesco, Mydin, Jusco dan Carrefour dan juga pasaraya tempatan seperti pasaraya The Store, Sunshine, UO Superstore, Tunas Manja, Bumi Terus Maju, Econsave, TF Value Mart dan 99 Speed Mart. Kempen ini akan diteruskan pada tahun 2009 dan akan disokong oleh Kempen Beli Barangan Malaysia.

 

7.         Selaras dengan Kempen Penurunan Harga dan bagi menyampaikan maklumat kepada pengguna dengan trend harga dan harga-harga barangan di pasar basah dan pasaraya besar dengan lebih berkesan, “Price Watch” dilancarkan. “Price Watch” yang dilaksanakan melalui laman web Kementerian adalah untuk memudahkan pengguna membuat perbandingan harga di sepanjang Kempen Penurunan Harga.  Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, Kementerian masih perlu membuat lebih banyak analisis secara terperinci untuk melihat mengapa wujud perbezaan harga dan punca harga tinggi tersebut. Kempen Penurunan Harga Barang di seluruh negara bertujuan untuk membuat perbandingan harga oleh pengguna ketika berbelanja seterusnya mengamalkan sikap berbelanja dengan bijak. Penurunan harga melalui “Price Watch” ini dilaksanakan di pasaraya besar seperti Mydin, Giant, Carrefour, Tesco, Jusco dan The Store di seluruh negara.

 

Menambahbaik Sistem Pengedaran

 

8.         Kementerian telah melaksanakan 2 Projek Perintis Pengedaran Barang Perlu daripada 4 Projek yang telah dirangka untuk tujuan mengkaji keberkesanan sistem pengedaran barang sedia ada di dalam mengatasi masalah bekalan barangan dan perbezaan harga barang runcit antara bandar dan luar bandar. Pada tahun 2008, projek perintis ini telah dilaksanakan di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang dan Pekan, Pahang. Selaras dengan tujuan projek, objektifnya adalah untuk memastikan bekalan barang perlu yang stabil kepada golongan sasaran dan diperolehi pada harga yang berpatutan dan ditetapkan Kerajaan. Hasil daripada projek perintis pengedaran barang perlu bersubsidi yang telah berjaya dilaksanakan di Pulau Pinang dan Pahang, Kementerian akan meneruskan perojek perintis ini di Saratok, Sarawak dan di Sipitang, Sabah pada awal tahun 2009. Kita bercadang untuk melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pengedaran sedia ada pada tahun ini dan berharap agar penambahbaikan ini akan dapat memberi keuntungan kepada pengguna mahupun para peniaga.

 

Mekanisme Penetapan Harga Petrol

 

9.         Krisis ekonomi global juga ada memperlihatkan beberapa pergerakan positif di dalam harga minyak mentah, iaitu daripada setinggi US$140.22 pada bulan Jun 2008, ia telah jatuh kepada serendah US$31.41 pada bulan Disember 2008. Kerajaan telah bertindak secara positif ke atas situasi ini di mana Kerajaan telah pun mula menurunkan harga runcit petrol secara berperingkat-peringkat dan dengan mengekalkan Rebat Tunai Kenderaan kepada rakyat, serta subsidi diesel dan petrol kepada pengusaha-pengusaha pengangkutan melalui sistem ’fleet card’. Di samping itu, kita juga telah melihat satu mekanisma baru telah diperkenalkan di mana harga petrol di pam ditentukan melalui Mekanisma Penetapan Harga Automatik (APM-Automatic Pricing Mechanism) yang kini ditetapkan berdasarkan harga pasaran antarabangsa produk petroleum dan dikaji pada setiap dua minggu, di samping elemen subsidi RM0.30 sen sebagai penanda aras penetapan harga runcit. Penurunan harga produk petroleum melalui mekanisma ini telah menukar cara pemikiran pengguna untuk sentiasa bersedia dan dapat menerima keadaan yang sama sekiranya harga minyak naik semula pada masa akan datang.

 

Liberalisasi Pasaran

 

10.        Kementerian telah mengambil langkah-langkah ke arah meliberalisasikan harga ke atas barang-barang kawalan yang dikawal harga bermula dengan besi keluli pada 12 Mei 2008 dan diikuti dengan simen pada 5 Jun 2008. Pasaran dilihat telah memberikan tindak balas yang baik ke atas liberalisasi ini. Kita perlu mengkaji secara mendalam mengenai liberalisasi pasaran dan kajian adalah perlu untuk melihat samada barang-barang kawalan sedia ada masih perlu dikekalkan di dalam senarai barang kawalan atau boleh dikeluarkan daripada senarai. Walaubagaimana pun, di dalam menghadapi cabaran tahun 2009 dan di dalam konteks senario ekonomi pada masa ini, apa-apa tindakan yang diambil untuk mengeluarkan item daripada senarai tersebut perlu diteliti dengan mendalam dan langkah-langkah sokongan perlu dilancarkan sebelum apa-apa tindakan drastik diambil. Kita juga harus menitikberatkan golongan berpendapatan rendah dan pada masa yang sama memastikan golongan sasaran ini diambil perhatian dan diberi keutamaan.

Kepenggunaan

 

11.        Kita telah melangkah satu tahap ke hadapan dalam isu kepenggunaan. saya juga berbangga kerana kita juga telah mendekati  pelbagai lapisan masyarakat terutamanya pengguna-pengguna melalui rancangan televisyen dan radio iaitu rancangan “Pengguna Sana Sini”, “1Konsumer@Bernama” dan “Rancangan Sembang Cik Alang”. Konsep program-program ini adalah temubual bersama pelbagai lapisan masyarakat terutamanya pengguna di seluruh negara tentang isu-isu kepenggunaan. Program-program sebegini adalah penting kerana pengguna juga perlu membuat perubahan gaya hidup sebagai penyesuaian kepada cabaran-cabaran baru global.

 

12.        Saya berbangga kerana pada tahun 2008 juga, Kementerian juga telah mewujudkan satu Standard Keselamatan Bagi Permainan Kanak-Kanak yang mana kini dalam proses terkahir sebelum ianya dikuatkuasakan. Adalah diharapkan bahawa standard keselamatan bagi barang-barang pengguna yang lain boleh juga diperkenalkan pada masa akan datang. Selain itu, hubungan di antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan KPDNHEP perlu saling melengkapi dan hubungan yang terjalin perlu diperkukuhkan lagi kerana melalui Badan-badan inilah Kementerian boleh mendapat berbagai maklumat mengenai kepenggunaan. Kempen-kempen kesedaran kepenggunaan yang dijalankan oleh kedua-dua pihak walaupun mempunyai pendekatan yang berbeza perlu memenuhi objektif yang sama iaitu untuk manfaat pengguna. Kerjasama erat perlu diteruskan memandangkan persatuan pengguna merupakan jentera penting dalam menyatukan golongan pengguna supaya dapat bertindak dengan satu suara dalam isu-isu kepenggunaan

Amanat penuh boleh dibaca di http://www.kpdnhep.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=13085&Itemid=159

Soalan kepada para pembaca artikel PGX.

1. Adakah anda pembeli barangan buatan tempatan? Jika tidak, kenapa?

2. Apakah anda sedar akan wujudnya kempen sebegini?

3. Sejauh manakah anda akan menyokong kempen ini?

4. Apakah usaha anda untuk menyokong kempen ini?

5. Bagaimanakah caranya untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk membeli barangan buatan tempatan?

6. Bilakah kali terakhir anda membeli barangan buatan tempatan?

7. Apakah barangan buatan tempatan yang biasa anda beli?

8. Apakah pendapat anda tentang kereta buatan tempatan?