Pusingan ketiga MY-NPL 60 pasukan berentap
August 27, 2009 by clonclown
Filed under Berita PGX, Paintball
SEBANYAK 60 pasukan berentap untuk membuktikan strategi pasukan masing-masing sepanjang pusingan ketiga Liga Paintball Kebangsaan (MY-NPL) yang berlangsung di Padang Taman Gelora, Kuantan, Pahang pada 20 dan 21 Jun lalu. Pertandingan yang diadakan serentak dengan Ekspo Memperkasakan Beliau 2009 itu masuk tahun keempat penganjuran di sektor pantai timur sebagai usaha pihak penganjur mempromosikan sukan berkenaan.
Pertemuan jaguh-jaguh paintball tempatan itu dibahagikan kepada empat divisyen yang menyaksikan pertempuran antara pasukan daripada Divisyen 2 dan 3 pada hari pertama kejohanan, manakala pasukan daripada Divisyen 1 dan 4 berentap pada sebelah petangnya.
Kemuncak pertandingan bermula pada hari kedua melibatkan perlawanan dari peringkat suku akhir hingga ke peringkat akhir.
Sebanyak 10 pasukan mengambil bahagian dalam Divisyen 1. Kemenangan berpihak kepada pasukan Deltarovers yang mengulangi kejayaan pusingan pertama kejohanan lepas dan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 selepas menewaskan Raz Legion.
Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Deltarovers di tangga pertama di dalam pungutan mata keseluruhan MY-NPL 2009. Deltarovers kini mendahului Nemesis Legion dengan 10 mata, juara keseluruhan Divisyen 1 tahun lalu.
Dalam Divisyen 2 yang disertai oleh 11 pasukan, Nomercy dinobatkan juara selepas menewaskan Johor Pirates dan membawa pulang wang tunai RM5,000 walaupun ketinggalan kepada pasukan Warrior pada pusingan awal.
Sementara itu, sebanyak 20 pasukan berentap di dalam Divisyen 3 untuk merebut hadiah RM4,000. Kemenangan berpihak kepada pasukan Raptor yang mengenepikan cabaran dari Roughnecks.
Pada perlawanan Divisyen 4, kejuaraan sekali lagi menjadi milik pasukan JS yang merupakan juara pusingan kedua selepas menumpaskan pasukan Ying Yang.
Juara setiap divisyen turut menerima hadiah sampingan berupa jersi sumbangan pengeluar barangan paintball, Dye Precision.
Pengarah Kejohanan Liga Paintball Malaysia, Mohd Sofian Mohd. Daud berkata, pusingan keempat MY-NPL 2009 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos ini di Dataran Pahlawan Melaka Megamall dijangka bertambah sengit terutamanya dalam perebutan gelaran Juara Malaysia 2009 dalam Divisyen 1,2 dan 3.
Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan pendaftaran pasukan untuk pusingan Keempat kini dibuka. Mereka yang berminat boleh menghubungi Sekretariat Kejohanan di talian 016 332 3337 atau layari laman web rasmi MY-NPL http://www.my-npl.org.




