Festival RWMF ‘terlebih’ meriah
July 12, 2010 by admin
Filed under Agent24 Exclusive Report, Isu Semasa, Latest, News
Festival RWMF ‘terlebih’ meriah
utusansarawak@utusan.com.my
|
F
|
KUCHING 11 Julai – Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2010 yang berlangsung mulai malam semalam tetap meriah dengan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung meskipun ketika ini demam bola sepak Piala Dunia masih belum lagi berakhir.
Edisi ke-13 RWMF yang dihadiri oleh peminat dari seluruh pelosok dunia kali ini menampilkan 20 pemuzik antarabangsa seperti Republik Cech, Indonesia, Columbia, Australia, Canada, Burkina Faso, Portugal, Itali, Jepun, Reunion Island, United Kingdom, Perancis, Peru, Rusia, Iran, Bulgaria, China, India dan Malaysia.
Meskipun cuaca hujan sejak pukul 6 petang hingga pukul 10 malam sebelum kembali hujan pada pukul 11 malam di kawasan Santubong itu, ia tidak menghalang RWMF 2010 terus mengambil slotnya di Kampung Budaya Sarawak dekat sini.
Malah, cuaca hujan itu telah menambahkan lagi keseronokan para penonton yang hadir apabila pada masa yang sama wujud sekumpulan pengunjung yang mengadakan ‘pesta mandi lumpur’ di tengah-tengah ribuan manusia di hadapan pentas utama berlangsungnya RWMF.
Ini kerana, ruang padang di hadapan pentas RWMF yang sudah becak telah digunakan oleh segelintir penonton memalitkan lumpur terhadap rakan-rakannya hinggakan keseluruhan pakaian dan badan mereka dipenuhi tanah.
Tiada perasaan segan atau malu untuk berbuat demikian malah pesta mandi lumpur semakin memuncak ketika kumpulan Watussi iaitu gabungan pemuzik Columbia dan Australia melakukan persembahan yang memukau.
Acara mandi lumpur seumpama itu seolah-olah sudah menjadi budaya kepada pengunjung RWMF memandangkan perbuatan tersebut akan berlaku terutamanya pada setiap kali berakhirnya persembahan untuk malam tersebut.
Terdahulu, kumpulan-kumpulan muzik yang melakukan persembahan adalah Debu (Indonesia), Bakih (Malaysia), Layatharanga (India), Bisserov Sisters (Bulgaria), Reelroad’b (Russia) dan I Beedi (Itali).
Sementara itu, acara pada sebelah siang turut menggamit kehadiran pengunjung yang mahu menyaksikan pameran dan jualan Kraf Bazar Hutan Hujan Sedunia 2010 di samping bengkel muzik oleh kumpulan-kumpulan muzik RWMF di Kampung Budaya Sarawak.
RWMF 2010 berlangsung selama tiga hari dan para pengunjung diingatkan mematuhi peraturan supaya tidak membawa sebarang makanan dan minuman daripada luar Kampung Budaya Sarawak.
sumber: utusan.com.my
pics by: jins fotografi.





























