Sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 Peringkat Negeri Sarawak

Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak.
merdeka 098merdeka 301Gambar oleh Mahapower

Hayati Hari Kemerdekaan.

HARI ini genap 52 tahun negara kita merdeka dan sepanjang tempoh itu, pembangunannya amat pesat dalam pelbagai aspek merangkumi ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan kemasyarakatan hinggakan negara luar kagum dengan keupayaan Malaysia.

Perjuangan pemimpin terdahulu menggapai kemerdekaan, pada tanggal 31 Ogos itu tidak pernah dilupakan serta terus menjadi nostalgia manis terhadap kegemilangan sejarah tanah air, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada generasi pasca merdeka untuk mengisi erti kemerdekaan itu.

Pada masa sama definisi merdeka tidak seharusnya jumud dan tertumpu kepada erti kebebasan daripada belenggu penjajah, sebaliknya perlu dirungkai secara menyeluruh dalam pelbagai ruang kehidupan.

Justeru, dalam meniti arus kemerdekaan itu, banyak pencapaian diperoleh dan bidang diterokai dengan rangka kerja yang komprehensif dalam pelbagai aspek sehingga nama Malaysia menjulang di persada antarabangsa.

Tetapi sudahkah merdeka minda kita?

Bagi Pensyarah Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, kemerdekaan dalam erti kata lain adalah negara yang bebas daripada segala bentuk penaklukan termasuk minda.

Pada alaf baru, iklim dan corak pemikiran lama harus dibenamkan serta digantikan dengan semangat inginkan pembaharuan supaya sebarang perancangan untuk meningkatkan pembangunan negara tidak terganggu dengan pemikiran negatif.

Jika dilihat perubahan minda khususnya dari segi senario politik di negara ini, Ahmad Nidzamuddin berkata, kita masih konservatif dengan berpegang kuat pada asas budaya sehingga takut untuk membawa transformasi secara besar-besaran.

Katanya, dengan sikap yang tidak begitu terbuka itu menampakkan seakan ada budaya kebimbangan untuk menghadapi sebarang risiko bagi melakukan perubahan.

“Bagaimanapun, saya percaya minda yang agak statik adalah disebabkan berada di persimpangan untuk memenuhi atau menjaga hak kepentingan masing-masing berikutan negara dihuni oleh masyarakat majmuk,” katanya.

Bagaimanapun, ledakan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih nampak ketara dan rakyat turut terpalit dengan mendapatkan apa saja maklumat tanpa sempadan.

Katanya, sepanjang 52 tahun merdeka, dari sudut penyebaran maklumat dianggap sebagai pencapaian yang drastik dan ini menjadikan minda mereka lebih terdedah dari segi penerimaan idea lain.

Cuma, berikutan kepesatan ICT itu juga menyebabkan wujudnya pertembungan pemikiran antara generasi lama dan muda kerana lebih terdedah kepada banyak sumber berkenaan.

“Dari segi sosiobudaya, masyarakat juga dilihat agak positif dan seimbang, tidak seteruk berbanding 13 Mei 1969 lalu. Jika dulu cakap saja Kepong orang menggambarkan ia kawasan Cina; Brickfields (India) dan Kampung Baru (Melayu). Hubungan interaksi antara kaum semakin baik,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan 1Malaysia adalah wawasan tambahan Perdana Menteri untuk mewujudkan satu perasaan saling menghormati, bekerjasama dan mempererat hubungan antara kaum dengan masing-masing tahu hak mereka.

Cuma dalam mengisi erti kemerdekaan itu juga usaha 1Malaysia mampu menghilangkan banyak pemikiran negatif termasuk rasa terpinggir antara bangsa.

Sementara itu, Sejarawan, Prof Emiritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, menganggap minda masyarakat negara khususnya mengenai pembinaan bangsa negara masih gagal mencapai tahap diharapkan dan tidak wujud nilai murni walaupun sudah 52 tahun merdeka.

Kepincangan itu adalah berpunca daripada sistem pendidikan yang kurang menekankan kepada aspek pengkajian, pemahaman dan penghayatan terhadap subjek sejarah itu sendiri.

“Sistem pendidikan sekarang juga amat lemah dan cuai dalam penyediaan rangka sukatan pelajaran. Tambah buruk lagi apabila generasi ini terdedah kepada pengaruh luar. Sepatutnya sukatan pelajaran itu digubal semula di samping menyediakan buku sejarah dengan fakta yang betul.

“Buku sejarah yang ada ditulis oleh orang yang tidak mengkaji sejarah Malaysia secara keseluruhannya. Ini menyebabkan pemikiran generasi muda tidak diberi maklumat benar. Bagi saya, keadaan ini belum terlewat kerana setiap 20 hingga 30 tahun akan datang, wujud lagi generasi baru.

“Generasi ini yang perlu ditumpukan mengenai aspek kenegaraan untuk membawa kepada pembinaan sebuah bangsa yang dinamis,” katanya.

Beliau menambah, ramai masyarakat yang masih bersifat ganjil, lebih mengutamakan diri sendiri, tidak begitu faham terhadap negara merdeka dan apa itu kerakyatan.

Malaysia, memang jauh lebih aman dan damai dengan penduduknya dilihat hidup bersatu padu serta saling memahami antara satu sama lain, namun dari segi pembinaan bangsa tidak begitu menyerlah.

Malah, negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia lebih mendahului Malaysia dalam aspek ini.

“Vietnam umpamanya, selepas saja tamat perang dengan Amerika Syarikat, mereka menanamkan keazaman untuk menjadi bangsa yang kuat. Begitu juga dengan Indonesia, dulu nampak mereka terkebelakang daripada kita, tetapi sekarang mereka mengejar Malaysia,” katanya.

Namun bagi Malaysia, pembangunannya boleh dibanggakan. Misalnya, dalam pembangunan sektor ekonomi, negara bukan saja mampu menaikkan taraf hidup rakyatnya, malah antara yang termaju di Asia Timur walaupun hampir semua negara kini dihambat oleh krisis ekonomi global. Dalam sesetengah bidang Malaysia tidak lagi menjadi jaguh kampung.

Dalam bidang sukan, nama seperti Datuk Nicol David, terus gah sebagai pemain skuash nombor satu dunia yang digeruni, manakala Datuk Lee Chong Wei (badminton). Episod baru turut tercatat apabila kita menghantar angkasawan pertama, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, meneroka ke angkasa lepas, pada Oktober 2007 (sembilan hari berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa).

Justeru, sempena Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, dianggap pelengkap kepada aspirasi dan visi negara untuk terus mencipta nama.

Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap sebagai kesinambungan ke arah memantapkan lagi kegemilangan Malaysia di samping mampu mewujudkan sebuah masyarakat bersatu padu serta mempunyai semangat patriotisme berpandukan kepada Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Namun, dalam tempoh lima dekad itu, sejauh mana pengisian kemerdekaan dicapai termasuk dari aspek pembangunan dan perubahan minda rakyat. Sudah majukan pembangunan minda kita

Dari Berita Harian Online.

Website yang patut dilihat bersama sama.

http://www.1malaysia-proton.com/

Pusingan ketiga MY-NPL 60 pasukan berentap

August 27, 2009 by clonclown  
Filed under Berita PGX, Paintball

SEBANYAK 60 pasukan berentap untuk membuktikan strategi pasukan masing-masing sepanjang pusingan ketiga Liga Paintball Kebangsaan (MY-NPL) yang berlangsung di Padang Taman Gelora, Kuantan, Pahang pada 20 dan 21 Jun lalu. Pertandingan yang diadakan serentak dengan Ekspo Memperkasakan Beliau 2009 itu masuk tahun keempat penganjuran di sektor pantai timur sebagai usaha pihak penganjur mempromosikan sukan berkenaan.

Pertemuan jaguh-jaguh paintball tempatan itu dibahagikan kepada empat divisyen yang menyaksikan pertempuran antara pasukan daripada Divisyen 2 dan 3 pada hari pertama kejohanan, manakala pasukan daripada Divisyen 1 dan 4 berentap pada sebelah petangnya.

Kemuncak pertandingan bermula pada hari kedua melibatkan perlawanan dari peringkat suku akhir hingga ke peringkat akhir.

Sebanyak 10 pasukan mengambil bahagian dalam Divisyen 1. Kemenangan berpihak kepada pasukan Deltarovers yang mengulangi kejayaan pusingan pertama kejohanan lepas dan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 selepas menewaskan Raz Legion.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Deltarovers di tangga pertama di dalam pungutan mata keseluruhan MY-NPL 2009. Deltarovers kini mendahului Nemesis Legion dengan 10 mata, juara keseluruhan Divisyen 1 tahun lalu.

Dalam Divisyen 2 yang disertai oleh 11 pasukan, Nomercy dinobatkan juara selepas menewaskan Johor Pirates dan membawa pulang wang tunai RM5,000 walaupun ketinggalan kepada pasukan Warrior pada pusingan awal.

Sementara itu, sebanyak 20 pasukan berentap di dalam Divisyen 3 untuk merebut hadiah RM4,000. Kemenangan berpihak kepada pasukan Raptor yang mengenepikan cabaran dari Roughnecks.

Pada perlawanan Divisyen 4, kejuaraan sekali lagi menjadi milik pasukan JS yang merupakan juara pusingan kedua selepas menumpaskan pasukan Ying Yang.

Juara setiap divisyen turut menerima hadiah sampingan berupa jersi sumbangan pengeluar barangan paintball, Dye Precision.

Pengarah Kejohanan Liga Paintball Malaysia, Mohd Sofian Mohd. Daud berkata, pusingan keempat MY-NPL 2009 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos ini di Dataran Pahlawan Melaka Megamall dijangka bertambah sengit terutamanya dalam perebutan gelaran Juara Malaysia 2009 dalam Divisyen 1,2 dan 3.

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan pendaftaran pasukan untuk pusingan Keempat kini dibuka. Mereka yang berminat boleh menghubungi Sekretariat Kejohanan di talian 016 332 3337 atau layari laman web rasmi MY-NPL http://www.my-npl.org.

Jadual Waktu Berbuka Puasa bagi Negeri Sarawak 1430H/2009M

August 27, 2009 by mahapower  
Filed under Articles, Latest, Mimbar Agama

Jadual waktu berbuka puasa bagi Negeri Sarawak 1430H/2009M mengikut Zon masing-masing :

http://www.pgx.com.my/forum/viewtopic.php?f=10&t=2670

Lori Terbabas Di Selekoh Jalan Tatau-Bintulu

August 27, 2009 by dzul pxs  
Filed under Agent24 Exclusive Report, Latest, News

1

Bintulu,  27 Ogos 2009  -  Sebuah lori dipercayai hilang kawalan semasa memandu di satu selekoh di Jalan Tatau-Bintulu pagi tadi.  Kemalangan yang berlaku pada awal pagi tadi dipercayai disebabkan keadaan jalan yang agak licin akibat hujan.  Tiada sebarang kehilangan jiwa berlaku dan kemalangan hanya melibatkan satu kenderaan sahaja.  Pemandu lori berkenaan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan teruk.  Sewaktu sampai ke tempat kejadian, keadaan terkawal dan kelihatan ‘penarik kereta’ sudah berada ditempat kejadian.

dzulfotografi/investigationscene
dzulfotografi/investigationscene
dzulfotografi/investigationscene

Laporan daripada dzulpxs untuk berita pgx.com.my

HIKMAH PUASA RAMADHAN

August 27, 2009 by naliazor  
Filed under Latest, Mimbar Agama

HIKMAH PUASA RAMADHAN

Oleh Ustaz Syed Hasan Alatas


“Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu,supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah:183)


PUASA menurut syariat ialah menahan diri dari segala sesuatu yang membatalkan puasa (seperti makan, minum, hubungan kelamin, dan sebagainya) semenjak terbit fajar sampai terbenamnya matahari,dengan disertai niat ibadah kepada Allah,karena mengharapkan redho-Nya dan menyiapkan diri guna meningkatkan Taqwa kepada-Nya.


RAMAHDAN bulan yang banyak mengandung Hikmah didalamnya.Alangkah gembiranya hati mereka yang beriman dengan kedatangan bulan Ramadhan. Bukan sahaja telah diarahkan menunaikan Ibadah selama sebulan penuh dengan balasan pahala yang berlipat ganda,malah dibulan Ramadhan Allah telah menurunkan kitab suci al-Quranulkarim,yang menjadi petunjuk bagi seluruh manusia dan untuk membedakan yang benar dengan yang salah.


Puasa Ramadhan akan membersihkan rohani kita dengan menanamkan perasaan kesabaran, kasih sayang, pemurah, berkata benar, ikhlas, disiplin, terthindar dari sifat tamak dan rakus, percaya pada diri sendiri, dsb.


Meskipun makanan dan minuman itu halal, kita mengawal diri kita untuk tidak makan dan minum dari semenjak fajar hingga terbenamnya matahari,karena mematuhi perintah Allah.Walaupun isteri kita sendiri, kita tidak mencampurinya diketika masa berpuasa demi mematuhi perintah Allah s.w.t.


Ayat puasa itu dimulai dengan firman Allah:“Wahai orang-orang yang beriman” dan disudahi dengan:” Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.”Jadi jelaslah bagi kita puasa Ramadhan berdasarkan keimanan dan ketaqwaan.Untuk menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah kita diberi kesempatan selama sebulan Ramadhan,melatih diri kita,menahan hawa nafsu kita dari makan dan minum,mencampuri isteri,menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang sia-sia,seperti berkata bohong, membuat fitnah dan tipu daya, merasa dengki dan khianat, memecah belah persatuan ummat, dan berbagai perbuatan jahat lainnya.Rasullah s.a.w.bersabda:

“Bukanlah puasa itu hanya sekedar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah menghentikan omong-omong kosong dan kata-kata kotor.”
(H.R.Ibnu Khuzaimah)

Beruntunglah mereka yang dapat berpuasa selama bulan Ramadhan, karena puasa itu bukan sahaja dapat membersihkan Rohani manusia juga akan membersihkan Jasmani manusia itu sendiri, puasa sebagai alat penyembuh yang baik. Semua alat pada tubuh kita senantiasa digunakan, boleh dikatakan alat-alat itu tidak berehat selama 24 jam. Alhamdulillah dengan berpuasa kita dapat merehatkan alat pencernaan kita lebih kurang selama 12 jam setiap harinya. Oleh karena itu dengan berpuasa, organ dalam tubuh kita dapat bekerja dengan lebih teratur dan berkesan.

Perlu diingat ibadah puasa Ramadhan akan membawa faaedah bagi kesehatan
rohani dan jasmani kita bila ditunaikan mengikut panduan yang telah ditetapkan, jika tidak maka hasilnya tidaklah seberapa malah mungkin ibadah puasa kita sia-sia sahaja.

Allah berfirman yang maksudnya:

“Makan dan minumlah kamu dan janganlah berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (surah al-A’raf:31)

Nabi s.a.w.juga bersabda:

“Kita ini adalah kaum yang makan bila lapar, dan makan tidak kenyang.”

Tubuh kita memerlukan makanan yang bergizi mengikut keperluan tubuh kita. Jika kita makan berlebih-lebihan sudah tentu ia akan membawa muzarat kepada kesehatan kita. Boleh menyebabkan badan menjadi gemuk, dengan mengakibatkan kepada sakit jantung, darah tinggi, penyakit kencing manis, dan berbagai penyakit lainnya. Oleh itu makanlah secara sederhana, terutama sekali ketika berbuka, mudah-mudahan Puasa dibulan Ramadhan akan membawa kesehatan bagi rohani dan jasmani kita. Insy Allah kita akan bertemu kembali.

Allah berfirman yang maksudnya:

“Pada bulan Ramadhan diturunkan al-Quran pimpinan untuk manusia dan penjelasan keterangan dari pimpinan kebenaran itu, dan yang memisahkan antara kebenaran dan kebathilan. Barangsiapa menyaksikan (bulan) Ramadhan, hendaklah ia mengerjakan puasa.

(surah al-Baqarah:185)

Gerbang Terbaik Windows 7

August 26, 2009 by dzul pxs  
Filed under Technologies

myMetro image

SELEPAS beberapa kontroversi dan kritikan yang dilontarkan mengenai prestasi Windows Vista yang dikeluarkan syarikat gergasi sistem operasi (OS) iaitu Microsoft, mereka terus beralih kepada produk seterusnya, Windows 7.

Ada yang menyatakan Microsoft mula panik dengan kegagalan Windows Vista menyebabkan mereka mahu memperkenalkan Windows 7 walaupun Vista baru setahun jagung berada di pasaran.

Windows 7 dijangka menemui pengguna awal tahun depan pada asalnya dikenali dengan kod Blackcomb dan Vienna yang dikeluarkan menerusi dua versi iaitu kepada pengguna dan pelayan.

Kali ini, Microsoft menjanjikan kelainan untuk OS Windows 7 dengan mengatakan ia jauh terhandal serta penuh inovasi.

Mungkin Microsoft terpaksa mengakui pengguna seluruh dunia lebih sayangkan Windows XP namun berdasarkan maklum balas orang ramai, Microsoft menjadikannya jauh lebih baik termasuk keupayaan penukaran program sehingga merekod televisyen.

Ia dikatakan memudahkan pelayaran komputer peribadi (PC) serta keupayaannya berhubung dengan dunia lain.

Microsoft bersedia memperkenalkan kemuncak generasi perisian akan datang yang direka bagi mengatasi rungutan mengenai perisian OS Vista keluarannya yang memberikan persaingan kepada pesaing utamanya, Google.

Versi Windows 7 yang sedang dibangunkan itu dipertontonkan di California pada satu Persidangan Pembangun Profesional mengandungi beberapa sesi yang mana pakar perisian boleh mendapatkan gambaran mengenai sistem operasi Microsoft yang akan datang.

Ketua Arkitek Perisian Microsoft, Ray Ozzie, berkata syarikatnya melabur besar untuk platform Windows 7 dan berbangga dengan sasarannya selepas ini.

“Antara ciri kelebihan Windows 7 termasuk membolehkan orang ramai menjadikan komputer lebih menuruti kehendaknya dan menyediakan rangkaian yang boleh dihubungkan dengan telefon mudah alih, pencetak, gambar digital, komputer dan perkakasan pintar lain,” katanya.

Menurut penganalisis dari Redmond, sebuah syarikat perisian berpangkalan di Washington, Matt Rosoff berkata beliau menjangkakan Microsoft menghasilkan Windows 7 seawal tahun depan.

Windows 7 direka bentuk untuk menjadikan semua tugasan harian membabitkan komputer lebih pantas dan menampilkan ciri baru sambil memfokus terhadap aplikasi dan kepelbagaian kesesuaian penggunaan perkakasan itu.

Rungutan mengenai Vista termasuk konfliknya dengan program lama.

“Kami membawakan yang terbaik mengenai Web kepada Windows dan yang terbaik mengenai Windows kepada Web.

“Daripada PC kepada Web seterusnya telefon dan dari pelayan kepada semua sistem lain, kami memfokus pengalaman penciptaan generasi seterusnya yang mengubah cara kita hidup, bekerja dan bermain,” kata Ozzie.

Windows 7 mempunyai ciri yang memudahkan tugasan harian antaranya:

  • Taskbar diperbaharui dengan previu skrin penuh Taskbar yang terletak di bahagian bawah skrin digunakan untuk melancarkan program dan menukarnya apabila ia dibuka. Ini bermakna anda akan dapat melihat visual ikon dipilih sebelum membukanya.
  • Pembaharuan desktop Ia memberi peluang kepada anda menyusun ikon di permukaan skrin termasuk membukanya, menutup, mengubah saiz dan mengemaskininya.
  • Carian Windows Windows 7 memudahkan carian subjek dalam PC dengan membahagikannya mengikut segmen tertentu seperti dokumen dan muzik dengan satu klik saja.
  • Internet Explorer 8 Semestinya ia diperbaharui bagi memudahkan pelayaran ‘online’ pantas seperti alamat bar, carian, ‘tabs’ dan bar ‘Favorites.’
  • Pengurusan perkakasan lebih baik. Kalau dulu, sebarang ikon di My Computer agak ‘kosong’ tanpa grafik namun dengan keupayaan Windows 7 baru, ia mampu mengecam perkakasan yang disambungkan ke PC.
  • Microsoft juga berusaha mengenal pasti keupayaan prestasinya yang dipertingkat menerusi Windows 7 agar ia tidak berkompromi dengan kehendak pengguna.

    Melalui sistem baru di bawah Windows 7, PC akan dibuka, ditutup, bersedia dan memberi respons dengan pantas yang mendapat maklum balas daripada pengguna sebelum ini.

    Selain itu, ia jauh berbeza dengan Windows XP apabila Microsoft memajukan jangka hayat bateri dengan menambah sistem penjimatan tenaga untuk kecerahan paparan dan penggunaan tenaga minimum untuk memainkan pemain DVD.

    Kali ini, Microsoft juga mahu mengurangkan sistem amaran membabitkan ‘pop-up’ memberi ingatan kepada pengguna walaupun ia tidak serius berbanding pop-up yang sering terpampang.

    Bagai bulan jatuh ke riba apabila mendengar ciri hiburan menggunakan Windows 7 yang bersedia untuk menampilkan fungsi ajaibnya terutama membabitkan televisyen menggunakan PC, filem dan video.

    Ia membabitkan penukaran besar-besaran antaramuka hiburan yang memberi impak kepada emosi pengguna ketika berhibur.

    Tidak dilupakan, Windows 7 dijangka akan menitikberatkan fungsi skrin sesentuh yang kian didapati dalam mana-mana perkakasan di dunia ini menjadikannya lebih mesra pengguna.

    Kehadiran Windows 7 bertepatan dengan aplikasi sentuhan seperti hasil kajian menyentuh hubungan antara pengguna dan mesin yang dijelaskan secara disiplin ilmu dalam Interaksi manusia-komputer (Human-Computer Interaction-HCI).

    Ia mengkaji komunikasi atau interaksi antara pengguna dengan sistem termasuk berkaitan UI serta skrin sesentuh.

    Model interaksi antara pengguna dengan sistem membabitkan tiga komponen iaitu pengguna, interaksi dan sistem itu sendiri.

    Interaksi terbabit mewujudkan sistem yang mudah digunakan, memberi keselesaan kepada pengguna, mudah dipelajari dan sebagainya.

    Satu kajian terpenting dalam bidang HCI adalah UI yang menjadi sebahagian sistem yang akan dikendalikan oleh pengguna untuk mencapai dan melaksanakan fungsi sesuatu sistem.

    Tidak dinafikan juga ia dianggap sebagai jumlah keseluruhan keputusan reka bentuk.

    Sistem UI yang membabitkan skrin sesentuh menggabungkan elemen komunikasi apabila pengguna boleh berinteraksi dengan produk terbabit melaluinya seperti ditonjolkan Windiws 7 kelak.

    Menurut nama yang tidak asing dalam bidang komputer iaitu Bill Gates ketika mengulas mengenainya berkata Windows 7 bermaksud jika anda beralih dari satu PC ke PC yang lain, anda perlu memasang aplikasi satu demi satu serta mengemaskini setiap satunya.

    “Memindahkan maklumat sangat leceh namun ia boleh diselesaikan menggunakan Perkhidmatan Live untuk mengetahui kemahuan anda.

    “Jadi, walaupun anda menggunakan kios atau menumpang PC seseorang, kami boleh membawa laman web anda, fail anda, jenis tulisan anda, kegemaran anda dan apa saja. Jadi itulah bentuk perkara berpusatkan pengguna yang Perkhidmatan Live boleh lakukan,” katanya.

    Jangan terkejut dengan kemunculan Windows 7 nanti yang pastinya lebih berinovasi dan penjadi pelopor kemajuan manusia.

    Sejauh manakah kita mampu menerimanya?

    Sumber myMetro

    Hormati Bulan Ramadan

    August 26, 2009 by dzul pxs  
    Filed under Latest, Mimbar Agama

    KUCHING 24 Ogos – Umat Islam di negeri ini diminta menghormati kehadiran bulan Ramadan dengan tidak makan atau merokok di khalayak ramai.

    Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, perbuatan makan dan merokok di khalayak ramai pada waktu siang di bulan Ramadan bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam malah menjejaskan imej Islam di kalangan masyarakat bukan Islam.

    Katanya, sejumlah 66 orang telah ditangkap tahun lalu kerana makan dan minum di khalayak ramai dan jumlah itu menurun jika dibandingkan pada tahun sebelumnya iaitu 126 orang.

    ”Walaupun jumlah itu telah menunjukkan penurunan, namun kita minta umat Islam supaya menghormati kehadiran Ramadan ini.

    ”Kalau mereka tidak berpuasa sekalipun janganlah mendedahkan perbuatan mereka itu di khalayak ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Daud berkata, tindakan tegas akan diambil kepada umat Islam yang didapati tidak berpuasa di negeri ini mengikut Undang-Undang Mahkamah Syariah Negeri Sarawak.

    Jelas beliau, denda sebanyak RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah.

    ”Tindakan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pelaku supaya tidak mengulangi perbuatan yang sama pada masa depan,” tambah beliau.

    Sumber : Utusan Malaysia Online.

    H1N1 : Korban terbaru

    August 26, 2009 by naliazor  
    Filed under Isu Semasa, Latest

    Kanak-kanak korban terbaru H1N1
    Oleh Sazarina Shahrim
    sazarina@bharian.com.my

    KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi korban terbaru wabak Influenza A (H1N1), semalam, menjadikan jumlah kematian akibat penyakit itu meningkat kepada 70 orang di seluruh negara.

    Kanak-kanak itu mendapat rawatan awal pada 12 Ogos lalu selepas mengalami demam sawan dan batuk selama dua hari. Bagaimanapun, keadaan beliau semakin tenat dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 13 Ogos lalu dan rawatan antiviral Tamiflu diberikan.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican dalam kenyataannya menyebut, hasil ujian makmal mendapati kanak-kanak itu positif H1N1 pada 17 Ogos dan meninggal dunia keesokan harinya.

    Sumber : Berita Harian

    Program Cerapan/Melihat Anak Bulan Ramadhan 1430H

    dzulfotografi - Program Cerapan Anak Bulan

    Bintulu, 20 Ogos 2009 – Program mencerap anak bulan Ramadhan adalah program yang diadakan pada setiap tahun apabila kembalinya bulan Ramadhan. Setiap negeri diseluruh negara akan mengadakan aktiviti ini secara serentak pada masa dan tempat yang telah ditetapkan. Di Bintulu, program ini telah diadakan di Tanjung Batu dan dihadiri oleh semua Ketua-ketua Jabatan Kerajaan dan Swasta sekitar bandar Bintulu. Program yang bermula seawal jam 5 petang telah berjalan dengan lancar dan keadaan cuaca pada hari berkenaan amat mengizinkan walaupun agak berawan. Pada awalnya ramalan cuaca menjangkakan akan berlaku hujan disemua bahagian diseluruh Sarawak tetapi sehingga tamat program cerapan, keadaan cuaca sekitar Bintulu masih lagi elok.

    Mengikut info yang diperolehi, anak bulan masih tidak kelihatan sehingga jam 6 petang kerana keadaan langit yang berawan sedikit sebanyak menganggu penglihatan semasa cerapan bulan dijalankan. Menurut sumber yang diperolehi, pada hari cerapan dilakukan, anak bulan dikatakan akan lebih awal tenggelam sebelum diikuti oleh matahari. Pada jam 6.30 petang, program cerapan dihentikan kerana anak bulan telah tenggelam dan sukar untuk dicerap lagi kerana keadaan tempat cerapan dibuat agak rendah (bagi kawasan cerapan di Bintulu). Keputusan yang diterima secara tidak sah telah menjangkakan hari mula berpuasa jatuh pada hari Sabtu, 22 Ogos 2009 (seperti yang telah tercatat dalam kalendar tahun 2009).

    dzulfotografi - Program Cerapan Anak Bulan

    Program ini juga mendapat liputan akhbar daripada salah satu media di Bintulu. Selain itu, beberapa ahli PGX, merangkap jurugambar bebas daripada Bintulu juga mengambil bahagian menjadi jurugambar dalam program tahunan ini.

    Selamat Berpuasa dan setakat ini sahaja laporan daripada meja laporan agen dari Bintulu. – laporan oleh dzulpxs

    Next Page »